Wednesday 3 June 2015

Benang Sulaman Mesin

Entri: # 12
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad


 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI



Benang sulaman dan benang gelendung merupakan dua (2) benang yang sangat penting dalam penghasilan satu imej sulaman.

Benang sulaman haruslah berada di permukaan atas manakala benang gelendung pula haruslah berada di permukaan bawah fabrik.

No 1 -  Benang Sulaman Jenama Fufus
No 2 - Benang 'Metallic'
No 3 - Benang sulam biasa jenama Dolphin
No 4 - Benang cincang jenama Senorita


Di pasaran, terdapat banyak jenis jenama benang sulaman dan benang gelendung yang di datangkan dalam pelbagai saiz. Pilihlah saiz yang memenuhi keperluan menyulam kita.

Berbanding benang untuk sulaman tangan, benang bagi sulaman mesin terdapat dalam satu tona warna, dua tona warna, benang cincang dan benang kilat yang terdiri daripada benang emas dan juga benang perak. Benang kilat ini juga dikategorikan sebagai 'metallic thread' dek kerana terdapat jaluran logam yang dipilin bersama bagi membentuk benang-benang seperti ini. Benang-benang ini juga mudah untuk didapati di kedai-kedai menjual peralatan menjahit, cuma yang berbeza adalah dari segi jenama dan saiz benang yang dijual.

Benang cincang adalah benang yang memiliki sekurang-kurangnya dua (2) warna atau lebih. Bersifat sama seperti benang sulaman yang lain, cuma yang berbeza adalah dari segi padanan warna yang dimilikinya. Benang ini juga selalunya digunakan oleh penyulam bagi menghasilkan seni sulaman kerawang.

Benang 'metallic' atau benang kilat pula adalah benang yang digunakan dalam kerja-kerja menyulam artikel-artikel yang berkaitan dengan pengantin atau logo-logo syarikat atau kelab tertentu. Harga benang ini lebih mahal dan penyelenggaraan nya jua adalah lebih rumit.

Apabila ditanya mengenai benang sulaman jenama mana yang terbaik, sebenarnya, penyulam itu sendiri yang menentukan benang sulaman dari jenama mana yang terbaik buat dirinya dan hasil sulamannya.

Ini adalah kerana hanya penyulam itu sendiri yang tahu bagaimana hasil yang dia mahu bagi sesuatu artikel sulaman. Lain benang, lain karenahnya dan lain jenama, lain pula cara pembuatan sesuatu benang sulaman itu.

Begitu juga bila menyulam menggunakan benang 'metallic'. Benang ini lebih keras berbanding benang sulaman biasa dan ketika menyulam memerlukan lebih masa untuk menyelenggarakannya sehingga terhasilnya satu artikel sulaman yang menepati kehendak penyulam.

Kesimpulannya, sebagai penyulam, seharusnya kalian bereksperimen dengan pelbagai jenis benang dari pelbagai jenama untuk lebih memahami benang yang mana satukah yang dapat memenuhi piawaian kehendak kualiti hasilan akhir sulaman kalian.
Belajarlah untuk memahami bagi mengendalikan jenis-jenis benang ini.


Sekian, maafkan cik azue, doakan cik azue, terima kasih.

Wasalam




Penstabil Fabrik Sulaman, Pilihan dan Jenis

Entri: # 11
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad


 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

Maaf, lama cik azue terhenti dari menulis. Ujian bencana tangan. Barangkali tangan ini kurang mensyukuri nikmat Ilahi, maka peringatan diberi.
Terima kasih atas doa dan ingatan serta kunjung balas kalian ke blog ini.

Kali ini kita menyambung entri mengenai 'Penstabil Fabrik' atau 'fabric stabilizer' bagi sulaman mesin berkomputer.

No 1 -  'Wash-away stabilize'
No 2 -  'Backing stabilizer'
No 3 - Plastik Pembungkus Makanan
No 4 - Plastik Pembungkus Hamper


Apakah yang kita fahami mengenai penstabil fabrik ini?
Dalam penyediaan sulaman, penstabil fabrik ini merujuk kepada keupayaan kita mengekalkan kain pada ketegangan sepatutnya melalui proses pemasangan di pemidang sulaman.
Dengan kata lain, penstabil ini bertindak untuk mengeraskan fabrik bagi mengekalkan ketegangannya bagi tujuan sulaman.

Bagi sulaman mesin berkomputer, penstabil fabrik terbahagi kepada dua, iaitu penstabil bawah dan penstabil atas.

Apa itu penstabil bawah? Penstabil bawah juga lebih dikenali dikalangan penyulam sebagai 'backing', iaitu sejenis material seperti kain atau juga kertas yang diletakkan sebagai lapisan di bawah artikel sulaman, yang mana ia bertindak untuk memantapkan fabrik lalu menghalang dari terjadinya kedutan mahu pun regangan melampau yang boleh mengakibatkan kecacatan pada hasil sulaman.

Terdapat empat (4) jenis 'backing' dipasaran dan dikenali sebagai 'tear-away', 'cut-away' 'wash-away' atau 'water-soluble' dan 'heat-away'. Walau fungsi kesemuanya adalah sama, namun terdapat sedikit perbezaan penggunaan berdasarkan jenis kain atau material yang ingin kita sulam nanti.

Penstabil jenis 'Tear-away' merupakan penstabil yang senang didapati dan paling banyak digunakan oleh penyulam. Ini kerana sifat penstabil ini yang mudah untuk diselenggarakan setelah selesai kerja-kerja menyulam. Terdapat pelbagai gred dengan ketebalan berbeza untuk diselaraskan dengan fabrik artikel sulaman.

Penstabil jenis 'cut-away' pula direka untuk kegunaan bersama fabrik yang mudah meregang ('strecth') seperti kain baju T, tuala dan kain 'fleece' yang mana ira kainnya mudah memeri. Hal ini kerana kita perlu menggunting penstabil ini serapat dan sehampir mungkin dengan imej sulaman yang mana ini menjaga keadaan sulaman dari tergelongsor dari kedudukan asal.

Penstabil jenis 'wash-away' atau 'water-soluble' pula diguna pakai bagi kerja-kerja menyulam pada fabrik seperti organza, yang mana hasil sulaman perlu untuk tidak menampakkan langsung tinggalan cebisan penstabil. Dan kerja-kerja menyulam renda dibuat menggunakan penstabil ini pada kain seperti organza dan kain net.

Penstabil jenis 'heat-away' pula adalah paling jarang diguna pakai di Malaysia. Penstabil jenis ini diguna pakai selalunya pada material sulaman yang tidak boleh dibasuh dan mempunyai tekstur kain yang sangat halus.

Beralih pula kepada penstabil atas. Penstabil atas lebih dikenali sebagai 'topping' dan ia diletakkan di bahagian atas fabrik yang hendak disulam dan bersifat lut sinar.

Kenapa kita memerlukan penstabil atas?
Penstabil ini akan digunakan apabila kita menyulam di atas kain-kain yang berbulu seperti tuala dan kain 'fleece'. Ini adalah bagi mengelakkan hasil sulaman kita dari tenggelam ke dalam fabrik yang bersifat berbulu. Dalam hal ini, dengan pengalaman, kadang kala, sesetengah fabrik biasa juga memerlukan 'topping' pada satu-satu masa sulaman bagi mendapat hasil sulaman yang lebih menonjol.

Secara kasarnya, terdapat dua jenis penstabil atas, iaitu 'wash-away' atau jenis 'heat-away'. Jika menggunakan penstabil jenis 'wash-away', kita hanya perlu membasahkan sedikit artikel sulaman dengan air suam bagi melarutkan penstabil tersebut. Manakala jika menggunakan penstabil jenis 'heat-away', kita hanya perlu memanaskan penstabil tersebut dengan cara menekap seterika sekejap di atas artikel sulaman.

Bagi penstabil bawah, yang paling biasa dan mudah terdapat di pasaran Malaysia (di kedai menjual peralatan dan kelengkapan menjahit) adalah jenis 'tear-away' dan 'cut-away'. Manakala yang lagi dua boleh dibeli secara atas talian (online), memandangkan penggunaan penstabil ini sangat sedikit dikalangan penyulam yang ada. Begitu juga dengan penstabil atas, hanya terdapat jenis 'wash-away' yang boleh dibeli secara atas talian (online).

Apa boleh dilakukan jika kita tidak dapat mencari dan membeli penstabil atas?
Berdasarkan pengalaman menyulam, kalian boleh dapatkan plastik membungkus makanan seperti gambar berlabel 3. Plastik ini haruslah lutsinar, lembut dan mudah terkoyak apabila dijahit di atas nya. 
Gambar berlabel 4 pula adalah plastik pembalut 'hamper'. Plastik ini juga boleh diguna pakai, cuma ada sedikit teknik skil diperlukan di sini kerana plastik ini pula sangat mudah terkoyak.
Namun diingatkan, jika menyulam menggunakan bahan selain bahan yang memang siap sedia untuk diguna pakai sebagai penstabil atas, terdapat beberapa perkara / langkah yang perlu ditambah ketika menyulam artikel. In shaa Allah, nanti akan dikongsi di lain entri.

Kesimpulannya, bagi satu artikel sulaman, penstabil juga memainkan peranan sangat penting selain teknik memasang dipemidang sulaman. Fahami, pelajari dan kuasai teknik memasang dipemidang sulaman beserta penggunaan penstabil yang tepat bagi mendapatkan hasil sulaman yang terbaik.

Hingga di lain masa, maafkan cik azue, doakan cik azue dan terima kasih.

Wasalam.


* nota kaki.

Kalian boleh hubungi cik puan Zila Kassim melalui pautan ini bagi bertanyakan dan mendapatkan bekalan penstabil sulaman ini.

FB Page: Zila Kasim Quilt Shop
IG : zilakasimquiltshop
Whatsapp: 013-9237174 / 013-3636174