Thursday 26 October 2017

Imej Sulaman Mesin

Entri: # 24
Teks: Azuriyah Mohamad 
Foto: Azuriyah Mohamad 


 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI


Hari ini cik azue menulis tentang imej sulaman mesin.  Imej ini adakalanya didatangkan sekali dengan mesin sulaman yang dibeli, atau lebih dikenali dengan kata imej 'built in'. Imej ini berada di dalam mesin sulaman tersebut.

Ada juga imej sulaman yang disertakan di dalam pakej belian mesin dan boleh dimuat naik ke mesin bila diperlukan.
Selain daripada ini, imej sulaman juga boleh didapati di lawan web tertentu yang ditawarkan secara percuma.

Sekarang ini, terdapat ramai pembuat dan penjual imej bagi sulaman mesin. Buatlah carian di laman sesawang dan kalian boleh jumpa imej-imej sulaman yang ditawarkan oleh penjual-penjual imej sulaman, samada dari dalam negara mahu pun dari luar negara.

Suka diingatkan di sini, setiap imej sulaman mesin, mestilah mematuhi format mesin sulaman yang kita ada.
Jadual di bawah adalah contoh jenama mesin dan format imej sulaman yang patut digunakan.



Selain daripada memuat turun imej sulaman dari laman sesawang secara percuma atau dari penjual imej sulaman, kalian juga boleh membuat sendiri imej sulaman kalian bagi yang mempunyai perisian komputer untuk membuat imej sulaman.

Terdapat pelbagai jenis perisian komputer yang dapat membuat dan menukar sesuatu imej menjadi imej sulaman komputer. Nanti akan cik azue perincikan dalam entri selanjutnya.

Jadi diharap dengan sedikit perkongsian ini dapat membantu kalian dalam mengenalpasti imej dan format sepatutnya yang boleh mesin sulam kalian guna nanti.

Sekian.


Jenis-jenis sulaman yang boleh disulam dengan mesin sulam

Entri: # 23
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad dan carian google


 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI 


Salam kasih sayang.

Kali ini cik azue menulis tentang jenis atau kategori sulaman yang boleh dibuat dengan menggunakan mesin sulaman berkomputer.

1) Sulaman nama atau sulaman tanda nama (sulaman 'nametag')
2) Sulaman tampal hias atau sulaman 'applique'
3) Sulaman 3D atau sulaman timbul
4) Sulaman Kerawang dan sulaman nyonya
5) Sulaman Logo dan sulaman 'patches'
6) Sulaman Tekat Benang emas, perak dan benang metalik

Kesemua jenis sulaman ini akan cik azue perincikan secara detail In shaa Allah, bila tiba masa untuk menulisnya nanti.

Sulaman-sulaman di atas boleh disulam secara berasingan pada satu-satu produk atau boleh juga disulam bergabung di dalam satu produk.


Hingga di lain entri.

Wasalam.



Saturday 30 September 2017

Sulaman Mesin: Fabrik dan sediaan bagi sulaman

Entri: # 22
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad


 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI


Salam kasih sayang buat kesayangan semua. 

Hari ini cik azue menulis tentang perkara penting bagi aktiviti sulaman mesin yang sering kali dipandang sepi atau tidak diambil kisah tentangnya sebelum sesuatu projek sulaman dijalankan.

Umum tahu, semua jenis fabrik boleh disulam di atasnya, namun bukan semua fabrik boleh disulam dengan menggunakan teori dan teknik sulaman yang sama.

Pernah tak kalian lihat suatu hasil seni sulaman yang amat cantik ketika 'sedang' diproses, namun berubah sifatnya apabila selesai atau siap disulam sepenuhnya, dengan kata lain, produk akhir yang mana telah dikeluarkan daripemidang sulaman yang memegang kain tersebut?


Di sini cik azue sertakan panduan bagaimana untuk menyediakan fabrik atau pun kain  dan lain perkara berkaitan bagi menghasilkan satu sulaman yang baik lagi bermutu tinggi, In shaa Allah.


Soalan pertama, kenapa fabrik atau kain perlu disediakan terlebih dahulu bagi proses menyulam?


Fabrik perlu disediakan supaya hasil akhir sulaman menjadi lebih elok dan lebih menepati mutu yang dikehendaki. Ia juga bagi mengelakkan terjadinya keadaan kedutan yang lebih dikenali dengan nama 'puckering' di kalangan para penyulam.


Berikut merupakan langkah-langkah bagi sediaan fabrik dan sediaan sulaman.


1) Basuh atau 'pre-wash'.

Fabrik mestilah dibasuh terlebih dahulu sebelum sebarang kerja sulaman boleh dilakukan ke atasnya. Ini adalah kerana sesetengah fabrik akan mengalami masalah lunturan warna bila dibasuh manakala ada pula yang akan mengalami masalah kedutan setelah dibasuh.

Fabrik yang mempunyai masalah lunturan warna, akan mencemar dan mengotorkan imej sulaman yang telah dibuat apabila ia dibasuh kemudiannya.

Gambar menunjukkan fabrik yang tidak boleh dibasuh dan terkena air lalu luntur warnanya.


Fabrik yang mengecut atau mengendur pula, fabrik yang pada asalnya masih mempunyai bahan pengeras atau kanji yang membentuk rupa permukaan kain, apabila dibasuh akan melarutkan bahan pengeras tadi, lalu fabrik menjadi tidak cukup tegang atau kendur atau juga mengecut. Bila hal ini berlaku, sulaman yang dibuat terlebih dahulu tidak akan mengecut atau mengendur mengikut kain tersebut, lalu menghasilkan satu imej sulaman dengan kedutan atau pada istilahnya dipanggil 'puckering'.


2) Seterika atau 'iron' 
Menyerika fabrik adalah bagi menghilangkan kedutan. Untuk menghasilkan satu sulaman yang baik, sesetengah fabrik, perlu diseterika terlebih dahulu bagi menghilangkan kedutan terutamanya bagi fabrik yang telah dibasuh terlebih dahulu sebelum digunakan.

Fabrik yang disulam dengan mempunyai kedutan akan membuatkan hasil sulaman tidak cantik, melainkan si penyulam sangat mahir untuk memasangkan fabrik dengan kedutan dipemidang sulaman dengan begitu tegang. Contoh kain yang perlu diseterika adalah dari jenis kain kapas atau kain linen.


3) Meletakkan penstabil fabrik
Fungsi penstabil fabrik adalah untuk menjadikan fabrik yang hendak disulam cukup tegang, cukup mampat serta cukup stabil bagi tujuan sulaman.  

Ada sesetengah fabrik (contohnya seperti tuala dan kain fleece) memerlukan penstabil yang perlu di letakkan di bawah dan di atasnya ketika proses sulaman, manakala ada pula fabrik yang memerlukan hanya penstabil diletakkan di sebelah bawah sahaja.

Ada pula yang perlukan penstabil jenis 'cut-away' dan ada pula yang perlukan jenis penstabil yang lebih tebal. Melalui pengalaman, penyulam selalunya dapat menentukan dengan baik jenis penstabil yang diperlukan bagi satu-satu jenis fabrik dan jenis design sulaman yang ingin disulamkan.


4) Cara memasang pemidang sulaman atau 'frame'
Fabrik ada yang nipis dan ada pula yang begitu tebal sehinggakan tidak boleh diletakkan di antara dua pemidang sulaman.

Selalunya, fabrik yang ingin disulam, akan diletakkan di antara dua pemidang atas dan bawah untuk mengekalkan tahap ketegangan fabrik tersebut bagi sediaan sulaman.

Namun, disebabkan ketebalan kain berbeza, terdapat beberapa teknik memasang pemidang dan kain yang boleh dilakukan seperti:
a) meletakkan secara susunan sandwich
b) meletakkan fabrik di atas pemidang sulaman

Kedua teknik di atas ini akan cik azue tunjukkan di entri berkaitan nanti.


5) Jenis jarum yang bersesuaian
Bagi sesetengah fabrik, jarum jahit yang digunakan sangat penting kerana adakalanya ira fabrik akan mudah tertarik atau terkoyak semasa menyulam kerana mesin sulam menyulam dengan kadar kelajuan yang tinggi.

Kalian boleh rujuk pada entri: Jarum Mesin untuk Menyulam


6) Ketegangan Benang sulaman dan benang gelengdung ('bobbin')
Sebelum menyulam, ketegangan dua benang ini haruslah berada pada tahap keseimbangan. 

Jika salah satu benang tidak berada pada tahap yang sepatutnya, hasil sulaman akan rosak. Selain daripada itu, perlu juga dipertimbangkan bila mana menyulam dengan menggunakan benang dari kategori benang metalik. Benang ini lebih berat dan lebih tebal berbanding benang sulaman biasa. Bila menggunakan benang ini, selalunya, ketegangan benang sulaman akan dilaras menjadi agak longgar.


Sampai sini dahulu buat kali ini. In shaa Allah, entri berikutnya cik azue akan sambung mengenai jenis-jenis sulaman mesin yang boleh kita lakukan dengan menggunakan mesin sulam berkomputer.

Sekian, wasalam.

Azuriyah Mohamad
013-2700020
Muharram 09, 1439H












Friday 29 September 2017

Katalog Benang Sulaman Fufus

Entri #: 21

Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad


 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI 

Muharram 08, 1439H

Salam kasih sayang buat semua. 
Alhamdulillah atas izin Ilahi, cik azue dapat kembali menggerakkan jari untuk menaip semula di blog ini. Hampir 2 tahun sela lamanya tidak menulis langsung di sini. Alhamdulillah atas nikmat ujian kesihatan yang dikurniakan Ilahi.

Bagi menyambung semula entri tertunggak, cik azue mulakan dulu dengan entri tentang katalog benang sulam jenama Fufus dari syarikat TOP Concord seperti mana entri lama di sini . Kalian boleh rujuk bagi cara belian secara online.

Oleh kerana ramai yang sudi menghantar email dan pesanan melalui aplikasi 'whatsapp' tentang katalog warna benang sulaman ini, maka di sini cik azue mengambil kesempatan menulis balik tentang katalog ini.


Bagi kalian yang mahu melihat gambar ini secara lebih dekat serta ingin memuat turun gambar katalog ini bagi tujuan belian benang ini, kalian bolehlah mendapatkan gambar terperinci di akaun fesbuk cik azue melalui pautan ini; Entri #21 : Katalog Benang Sulaman Fufus

Mudah bukan? 

Diharap dengan tertulisnya entri tertunggak ini dapatlah cik azue membantu kalian mendapatkan stok benang sulaman jenama ini.

Hingga di lain entri.

Wasalam