Wednesday 27 May 2015

Pemidang Sulaman dan Grid

Entri: # 10
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad


 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI


Hari ini saya akan memperkatakan mengenai pemidang dan grid pemidang sulaman bagi mesin sulaman berkomputer.

Bagi mesin sulam berkomputer, satu atau dua saiz pemidang dan grid akan dimasukkan ke dalam pakej lengkap pembelian mesin sulam berkomputer.
Pemidang sulaman koleksi peribadi berjenama 'Brother'

Pemidang sulaman merupakan peralatan yang penting bagi memulakan sesuatu artikel sulaman. Tanpa pemidang yang tepat dan bersesuaian dengan mesin sulaman, maka artikel sulaman belum tentu dapat dihasilkan dengan sebegitu baik dan tepat.

Pemidang sulaman ini berfungsi sebagai pemegang kain yang ingin disulam, yang mana, disambung ke mesin melalui satu slot bukaan di tangan penyulam dimesin.
Pemidang ini memastikan kain yang ingin disulam berada pada keadaan ketegangan yang sepatutnya selama mana mesin menyulam artikel.

Artikel sulaman akan rosak atau cacat apabila ketika menyulam artikel, kain dipemidang terlucut atau beralih arah dek kekenduran ketegangan.

Adalah sangat penting untuk mengetahui teknik memasang kain/fabrik dipemidang sulaman apabila kita memilih untuk menjadi seorang penyulam, tidak kira menyulam mesin mahupun menyulam tangan.

Di sini, pemidang perlu berfungsi untuk memastikan kain/fabrik senantiasa dalam keadaan tegang dari bermula sehingga tamat artikel disulam. Ini penting kerana, ketika mesin menyulam, hentaman masuk dan keluar jarum ke fabrik boleh menyebabkan kain berubah ketegangan jika tidak disediakan dengan baik semasa proses penyediaan fabrik ke pemidang sulaman. 

Perlu diingatkan, ketika menyulam, hanya pemidang sulaman sahaja yang bergerak ke kiri atau ke kanan mengikut tangan penyulam, bukan kain yang berada di dalam pemidang.

Jika kain dipemidang yang bergerak selaras dengan pergerakan pemidang dan jarum sulaman, maka hasil sulaman akan dilihat bergerak dan menjadi cacat atau rosak, seolah-olah terdapat kesalahan atau kecacatan pada imej sulaman yang dipilih.

Kadangkala juga boleh dilihat, terdapat gumpulan benang dibawah kain yang disulam atau benang tersimpul tanpa artikel dapat disulam. Atau mungkin juga, ketika menyulam, benang sulaman akan selalu putus-putus yang berpunca daripada ketidakseragaman ketegangan kain di pemidang.

Sebagai penyulam, haruslah kita kenal dan pasti akan saiz pemidang dengan luas kawasan sulaman yang dapat dijangkau ketika mesin menyulam artikel.
Jika kalian memiliki pemidang sulaman beserta grid pemidang, (boleh rujuk gambar bernombor 2 sebagai rujukan) grid pemidang itu sebenarnya adalah pembantu dalam menentukan saiz sulaman yang boleh disulam nanti..

Gambar menunjukkan pemidang bersaiz 100mm X 100mm (4inci X4inci). Grid pemidang yang terdapat disitu pula sebenarnya berfungsi untuk membantu kita mengetahui saiz paling besar yang dapat disulam dengan pemidang yang dipilih. Dalam gambar ini, saiz pemidang 100mm X 100mm dengan keluasan saiz sulaman sebenar adalah dalam jangkauan 96mm X 96mm sahaja, dan bukannya pada saiz 100mm X 100mm itu sendiri.

Contoh diatas diberi untuk memberitahu kalian kepentingan memilih saiz pemidang serapat mungkin dengan artikel sulaman. Kita boleh memilih untuk menggunakan pemidang dengan satu saiz lebih besar dari saiz sulaman, cuma dikhuatiri akan menjejaskan mutu sulaman kerana terdapat ruang kosong yang besar dikeliling kain antara artikel sulaman dan pemidang sulaman yang mungkin akibat hentaman jarum, kain tersebut boleh tergerak dari ketegangan sepatutnya, melainkan kain tersebut telah disediakan dengan sebaik dan setegang mungkin.

Bagaimana kain disediakan dipemidang sulaman?
Setiap pemidang sulaman (tidak kira sulaman mesin atau sulaman tangan) di datangkan dengan dua (2) kerangka ('frame'); atas dan bawah. Sila rujuk gambar 3.
Kerangka bawah memiliki satu skru pelaras manakala kerangka atas tanpa skru pelaras. Skru pelaras digunakan untuk melaras pemidang setelah kain dan lain-lain fabrik diletakkan. Skru hanya dilaras dan diketatkan bila mana kesemua kain beserta penstabil telah berada dalam keadaan tegang dan rata di keseluruhan permukaan. Dan pastikan skru pelaras tidak dikunci terlalu kuat bagi mengelakkan fabrik rosak atau pemidang menjadi melengkung dan tidak selari di masa akan datang. Ketika membuka kain dari pemidang, skru pelaras ini juga haruslah dipusing melawan jam, sehingga kerangka pemidang menjadi longgar dan dapat dipisahkan. Sebagai nasihat, jangan buka kerangka pemidang selagi skru pelaras tidak laras untuk membuka ikatan bagi mengelakkan kerangka pemidang patah.

Sebagai kesimpulan, pemidang adalah sejenis peralatan penting dalam aktiviti sulaman dimana ia bertindak sebagai pemegang dan penahan ketegangan fabrik, bagi menghasilkan mutu hasil sulaman yang sekata, tidak berkedut serta benang yang tidak mudah tercabut. 

Kita akan bersambung nanti tentang bagaimana proses memasang kain/fabrik ke pemidang di entri akan datang.

Hingga itu, maafkan saya, doakan saya dan terima kasih.

Wasalam

No comments:

Post a Comment