Wednesday 15 April 2015

Salam Perkenalan dan Salam Pertemuan

Entri: # 1
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad


 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI 


Salam kasih sayang. Alhamdulillah, akhirnya, dapat juga cik azue memenuhi impian membina satu lagi blog yang hanya memfokuskan kepada kecintaan cik azue pada seni sulaman dan seni kreatif yang telah cik azue warisi dengan tanpa sedar dari bakat seni, almarhum bonda tercinta. Al Fatihah buat ayahanda dan bonda, semoga kalian berdua tenang dan dalam rahmat Ilahi.

Selamat datang dan salam perkenalan buat semua yang sudi bertandang.
Blog ini hanya akan memfokuskan kepada seni sulaman dan seni kreatif yang sedang diusahakan oleh cik azue.

Cik azue atau nama penuhnya, Tengku Azuriyah binti Tengku Mohamad, dan juga lebih senang untuk dikenali sebagai Azuriyah Mohamad, merupakan tuan punya blog, "Sulaman dan Seni Kreatif" ini. Blog ini diusahakan oleh diri cik azue sendiri, oleh sebab itu, setiap entri di dalam blog ini merupakan hasil kerja tangan cik azue sendiri.

Seperti yang dimaklumkan di awal entri di atas, sulaman dan seni kreatif ini adalah kesinambungan dari kecenderungan almarhum bonda, yang sangat meminati seni jahitan kreatif dan seni sulaman.

Cik azue mula menghasilkan produk berasaskan seni jahitan kreatif dan sulaman ini sebenarnya adalah pada tahun 2006, iaitu, pada tahun yang sama ayahanda dijemput Ilahi pulang, hanya secara suka-suka bagi memenuhi dan mengambil hati bonda yang rawan ketika itu.

Bermula hanya sebagai hobi suka-suka untuk mengambil hati bonda, kemudian seterusnya, pada tahun 2011, ianya bertukar terus menjadi hobi buat pengubat rindu pada setiap kenangan bersama bonda. 

Dan pada setiap kerinduan, cik azue akan melakarkan ianya menjadi satu hasilan kraf, yang memberi impak kepuasan dalam meleraikan kerinduan tersebut. Maka, dari sinilah terhasilnya cogan kata perniagaan ini; 

"Dijahit dari hati untuk hati buat mengingati".

Bermula dengan menghasilkan bantal-bantal sulaman berkarektor dan selimut tampal cantum sebagai hadiah buat keluarga dan teman rapat, cik azue sekarang, alhamdulillah telah memulakan perniagaan berasaskan sulaman dan seni kreatif ini secara atas talian dan beroperasi secara dirumah sahaja.

Berikut adalah hasilan produk sulaman dan seni kreatif yang telah cik azue buat hasil tempahan kalian, rakan alam maya serta kenalan rapat.

Bantal karektor burung hantu

Selimut tampal cantum bersulam tampal hias

Set Bantal kereta bersulam imej - tempahan Tuan Apit dari fizgraphic.com

Tempahan sulaman tuala budak/bayi

Tempahan sulaman tanda nama


Bantal karektor bersulam


Di blog ini kemudian nanti, akan cik azue kongsikan bagaimana cik azue menghasilkan setiap produk bagi setiap tempahan.

Semoga perkongsian cik azue di blog ini nanti dapat memberi manfaat buat kita bersama.

Sebelum cik azue mengundurkan diri dari entri julung kali ini, sukalah di hati cik azue untuk mengingatkan, bagi kalian yang ingin berkongsi mana-mana gambar atau tutorial dari blog ini, sila maklumkan sahaja di ruangan komen pada setiap entri atau email makluman kepada cik azue (email: azuriyahmohamad@gmail.com) supaya tiada hal-hal berbangkit dikemudian hari.

Sampai sini dulu buat kali ini. Sehingga bertemu di lain kali.

Maafkan cik azue, doakan cik azue. 

Terima kasih dan Wasalam.














No comments:

Post a Comment