Wednesday 21 October 2015

Sulaman: Jarum Lama Vs Jarum Baru

Entri: # 19
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad


 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

Salam kasih sayang.
Minta maaf dek terlupa akan info yang satu ini. Alhamdulillah, entri ini akan mengakhiri bab jarum mesin sulam yang sebenarnya.
Jika dilihat dengan mata kasar, kedua jarum tanpa label (gambar 1) tidak akan dapat dibezakan yang mana jarum baru dan yang mana jarum lama.

Apakah kepentingan jarum baru dan jarum lama ini kepada sulaman kita?

Seperti yang kita sedia maklum, jarum baru bermaksud, jarum itu adalah tajam, namun, perlulah diketahui, kadangkala, jarum baru tidak semestinya tajam.

Bagaimanakah boleh kita mengenal pasti jarum baru yang tajam ini?

Berpandukan pengalaman, jarum baru yang tajam, jika kita sentuh di hujung mata jarum (gambar label 2), kita akan merasai kesan seperti kulit kita seolah-olah tertarik ('skin pickup effect') bila kita cuba merasai hujung mata jarum tersebut('needle tip').
Cuba kalian rasakan sendiri, namun haruslah dilakukan secara berhati-hati ya dek kerana jarum baru yang memang bersifat sangat tajam.

Yang kedua, kita juga harus melihat sama ada jarum baru yang tajam itu berkedudukan selari serta tegak dan tidak senget ('slanted') kerana kecacatan jarum ini boleh merosakkan kain dan mesin sulam, dengan mengakibatkan jarum patah ketika jarum menembusi kain lalu tersekat di celahan gigi mesin sulam.

itu bagi yang berpengalaman melihat dan merasai jarum mesin jahit dan dapat membezakannya.

Bagi kalian yang baru berkenalan, untuk mengetahui sama ada jarum itu adalah tajam atau tidak, selalunya dinasihatkan agar mencuba menjahit sedikit pada kain yang agak sensitif serta bertekstur licin seperti satin.
Jika kain tersebut berkedut atau tertarik ketika jarum menembusi kain, ini bermakna, jarum itu sebenarnya tidaklah begitu tajam.

Semakin lama kita menyulam, jarum ini akan menjadi semakin tumpul. Ketika ini, walau jarum masih dalam keadaan baik serta tidak patah, seharusnya kalian sudah mula menukar jarum tersebut.

Selalunya kita dinasihatkan untuk menukar jarum bagi setiap 8,000 ke 10,000 mata jahitan ('stitches') bergantung artikel sulaman. Ini bagi menjaga mutu hasilan sulaman yang dilakukan.

Percaya atau tidak, jika kalian perhatikan, mutu jahitan sulaman adalah berbeza ketika mula menyulam dengan jarum yang baru berbanding yang terakhir sebelum kalian menukar jarum.
Kadangkala kita dapat melihat terdapatnya lubang-lubang halus jarum pada artikel yang disulam dek kerana kehausan mata jarum.
Kadangkala pula, di tengah-tengah proses sulaman berlangsung, tiba-tiba kalian dapati benang putih gelendung mula muncul di permukaan atas artikel sulaman.

Kenapa benang putih gelendungan muncul ketika sebelum ini baik-baik sahaja?
Salah satu sebabnya adalah mata jarum telah haus dan tusukan jarum menjadi tidak tepat serta berlaku sedikit serpihan geseran di mata jarum lalu mengakibatkan benang gelendung tertarik lalu terikut jarum untuk naik ke permukaan sulaman.

Selain daripada yang tertulis di atas, bagi seorang penyulam yang telah lama berkecimpung dalam aktiviti sulaman, bunyi tusukan jarum ke kain juga boleh menjadi satu garis panduan untuk menukar jarum.

Jika pada permulaan penggunaan jarum, bunyi tusukan itu lembut, namun sejajar kehausan mata jarum, bunyi tusukan ini juga akan semakin kuat dek kerana hujung mata jarum tidak lagi meruncing seperti asal malahan sebaliknya telah bertukar menjadi semakin bulat.
Bila ini terjadi, lubang tusukan akan semakin ketara dan sulaman terhasil akan semakin kurang tepat dan kurang jitu.

Suka untuk menasihati. Jika kalian gemar menyulam pada fabrik seperti felt atau denim atau 'PVC', seharusnya kalian menukar jarum terlebih dahulu sebelum kalian memulakan sulaman pada fabrik yang lebih nipis.
Ini kerana fabrik di atas adalah bersifat tebal dan cepat boleh menghauskan struktur mata jarum.

Sampai sini dahulu, di lain entri, kita bersambung pada topik baru.
Semoga perkongsian ini memberi sedikit panduan bagi kalian yang baru menceburi bidang ini.

Jika ada sebarang pertanyaan, kalian bolehlah ajukan soalan di fesbuk : AZURIYAH MOHAMAD atau ke nombor 013-2700020 ('WhatsApp).

In shaa Allah, cik azue cuba bantu seberapa segera.

Hingga itu, maafkan cik azue, doakan cik azue dan terima kasih.

Wasalam.

Azuriyah Mohamad
Muharram 8, 1437H
(21 Oktober 2015@1.00pm)

1 comment: