Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad / Sumber Google
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI
Kali ini kita menyambung perbincangan mengenai gunting pula.
Seperti yang kalian sedia maklum, gunting juga merupakan sebahagian daripada peralatan asas yang kita perlukan dalam melakukan kerja-kerja sulaman. Dan juga boleh dikategorikan sebagai peralatan penting dalam sulaman mesin.
Gambar berlabel 1 adalah koleksi peribadi, yang senantiasa diguna pakai ketika menjalankan aktiviti sulaman.
Gunting 1 adalah gunting kertas dan digunakan untuk menggunting penstabil/pemantap fabrik, serta plastik yang mana diperlukan ketika menyulam
fabrik jenis berbulu seperti tuala mandi.
Gunting 2, adalah gunting kain/fabrik. Saya mengasingkan penggunaan gunting bagi dua tujuan bagi memanjangkan jangka hayat gunting kain.
Seperkara lagi yang saya titik beratkan, gunting kain sangat penting dijaga bagi memastikan kain yang terpotong benar-benar terpisah mengikut potongan dan dalam keadaan lurus. Jika didapati kain terpotong terdapat kawasan yang sebahagiannya tidak terpotong dengan baik, atau didapati terdapat jeriji pada kesan potongan, itu memberi maksud bahawa, gunting tersebut sudah tidak lagi tajam dan perlu diasah kembali.
Gunting 3 adalah gunting hujung tirus ('straight tip') dan gunting ke 4 pula adalah gunting melengkung dengan hujung tirus ('curved tip').
Beralih pula pada gambar ke dua (2).
Gambar ini menunjukkan perbezaan di antara gunting hujung tirus biasa dengan gunting hujung tirus melengkung.
Gunting hujung tirus biasa (gunting 3) digunakan untuk menggunting kain pada kawasan jahitan yang tirus dan tidak tercapai oleh gunting kain yang biasa.
Gunting hujung tirus melengkung pula adalah gunting yang saya gunakan untuk menggunting kain ketika saya menjahit sulaman tampal hias.
Gambar ke tiga (3) adalah gunting lengkung berganda ('double curved').
Gunting yang sesuai bagi kerja-kerja menggunting di dalam pemidang sulaman, tanpa perlu bersusah payah dek kerana bentuk pembentukan gunting ini.
Gambar ke empat (4) adalah gunting khas untuk sulaman tampal hias ('applique scissors'). Ia lebih dikenali sebagai gunting paruh itik atau 'duck bill scissor' dek kerana rupa bentuk salah satu bilah gunting tersebut, iatu bilah gunting yang sebelah besar seperti gambar.
Bilah gunting yang besar itu sebenarnya berupaya untuk menaikkan dan memotong lebihan fabrik yang ditampal dengan lebih rapat tanpa merobek atau menggunting kain di dasarnya. Penggunaan gunting ini dapat membantu mempercepatkan proses guntingan kain yang ditampal.
Dalam hasil kerja sulaman cik azue, cik azue hanya menggunakan empat (4) gunting seperti gambar berlabel 1.
Perkara penting bagi seorang penyulam dalah teknik ketika menyulam disamping penggunaan peralatan sebagai memudahkan kerja.
Jangan risau, jika kalian tiada gunting seperti gambar 3 atau gambar 4, saya juga tidak menggunakan gunting-gunting ini dalam sebarang kerja menyulam buat masa sekarang ini.
Salah satu sebab mengapa saya tidak menggunakan gunting tersebut adalah, gunting ini hanya boleh dibeli melalui jualan pra-tempahan sahaja melalui beberapa teman yang membawa masuk gunting ini ke Malaysia.
Gunting-gunting lain pula dengan senangnya boleh dibeli di mana-mana kedai menjual peralatan jahitan yang terdapat disekitar kita.
Sedikit nasihat, bagi aktiviti menyulam, untuk gunting seperti dalam gambar ke dua (2), pilihlah gunting hujung tirus yang runcing bagi memudahkan kita mencapai guntingan ke celahan kain atau jahitan.
Gunting ini sangat tajam dan perlulah digunakan dengan berhati-hati bagi mengelakkan kain dasar terpotong atau terobek.
Sampai sini dahulu buat kali ini.
Kalian yang ada masalah atau ingin bertanya lanjut mengenai entri ini atau apa sahaja, bolehlah berhubung dengan saya melalui:
FB: Azuriyah Mohamad
email: azuriyahmohamad@gmail.com
WhatsApp: 013-2700020
Hingga kita bertemu di lain entri.
Maafkan saya, doakan saya, terima kasih.
Wasalam.
No comments:
Post a Comment