Entri: # 7
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI
Kali ini kita berkenalan pula dengan mesin jahit sulaman berkomputer.
Apa yang diperkenalkan di sini adalah merupakan mesin jahit sulaman berkomputer milik peribadi.
Diharap perkongsian ini dapat memberi sedikit manfaat buat kalian semua yang membaca.
Jenama: 'Brother'
Model: NV1500
Untuk penerangan di bawah ini, sila rujuk gambar di atas.
Gambar bernombor satu (1) menunjukkan mesin sedang berada dalam mod ('mode') sulaman. Adalah diingatkan mesin jahit sulaman ini adalah jenis mesin jahit dwifungsi, iaitu, boleh diguna pakai untuk jahitan lurus biasa dan juga boleh diguna pakai untuk jahitan sulaman berkomputer.
Bagi mengaktifkan mesin ke dalam mod sulaman, mesin haruslah disambung dengan tangan penyulamnya ('embroidery arm') seperti terlihat dalam gambar.
Apabila sambungan tangan penyulamnya selesai, akan kedengaran bunyi klik yang menunjukkan sambungan telah sempurna.
Ketika ini, apabila mesin disambungkan ke sumber kuasa elektrik dan suis mesin dihidupkan, secara automatik, pemegang pemidang sulaman (lihat gambar bernombor 4) akan bergerak sendiri ke kiri dan ke kanan.
Seterusnya paparan muka penyulam akan terpapar di skrin mesin. Gambar bernombor 2 menunjukkan imej paparan muka penyulam. Terdapat dua (2) barisan pilihan di bahagian bawah paparan skrin, yang mana, barisan atas menunjukkan simpanan imej sulaman tersedia di dalam mesin, manakala barisan di bawah berlabelkan huruf 'A' dan 'B' (berwarna kuning) merupakan arahan sesentuh paparan bagi membawa masuk imej sulaman ke dalam mesin bagi penyediaan sulaman.
Paparan sesentuh skrin berlabel 'A' membawa maksud tempat simpanan imej sulaman yang telah dibawa masuk ke mesin dan yang berlabel 'B' pula adalah arahan bagi membawa masuk imej ke mesin sulaman.
Beralih ke gambar bernombor 3 pula. Ini adalah persediaan asas mesin jahitan sulaman itu sendiri. Mesin haruslah disambungkan dengan tapak penyulam seperti tertera.
Tapak penyulam ini sebenarnya terapung, iaitu ianya tidak mencecah fabrik di bawah walau pun kita telah menurunkan aras penekan kain. Ini bagi membolehkan jarum bergerak menghayun ke kiri dan ke kanan ketika sulaman dibuat.
Gambar terakhir, bernombor 4 adalah menunjukkan pemegang pemidang sulaman. Terdapat satu kekunci yang mana haruslah diturunkan apabila pemidang telah berada di dalam landasan bagi mengelakkan pemidang terkeluar dari landasan pemegang.
Secara am, yang dinyatakan di atas adalah asas untuk mengenali mesin jahitan sulaman kita. Bagi kalian yang baru berjinak-jinak dengan mesin jahitan sulaman, diharap perkongsian ini memberi sedikit manfaat.
Hingga bersambung lagi di lain masa.
Wasalam
No comments:
Post a Comment