Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI
Salam kasih sayang.
Menyambung lagi entri tertangguh mengenai jarum mesin jahit. Dan ini merupakan entri terakhir untuk bab jarum.
Kali ini cik azue akan menulis tentang jarum bagi kegunaan aktiviti menyulam.
Jika pada mesin jahit baju, kita menggunakan pelbagai saiz jarum jahit berdasarkan jenis fabrik yang ingin dijahit, namun bagi aktiviti menyulam, cik azue hanya menggunakan satu jenis dan nombor sahaja.
Sila rujuk SINI bagi pautan ke entri Jarum Mesin dan Kepelbagaian.
Ini jarum yang cik azue guna. Sila rujuk gambar bernombor dua (2).
Menggunakan mesin sulam berkomputer berjenama 'Brother' dengan model 'NV1500', Alhamdulillah cik azue menggunakan jarum mesin jahit jenama 'Organ' dengan saiz 65/9 tanpa sebarang masalah. Jarum yang ditunjukkan ini adalah jarum mesin jahit biasa yang tajam - bukan jarum khas bagi tujuan sulaman mesin.
Perlulah diingatkan, jarum adalah suatu objek yang membawa benang sulam melalui fabrik tanpa merosakkan jarum, benang sulam itu sendiri dan juga fabrik yang ditembusinya. Jarum ini juga haruslah dapat menghasilkan satu hasilan yang bersih dan kemas dari segi mutu sulaman dan ke atas fabrik yang disulam.
Cuma apa yang membezakan hasil sulaman adalah dari segi ketajaman jarum jahit mesin yang digunakan dalam menghasilkan satu-satu artikel sulam.
Untuk makluman, berdasarkan pengalaman, kenapa cik azue memilih untuk menggunakan jarum bersaiz 9 bagi semua kerja sulaman (menggunakan fabrik tuala ('terry'), 'cotton', 'minky, jersey, felt dan lain-lain) adalah kerana semakin kecil mata jarum itu maka, semakin tepatlah hasil sulaman yang terlakar nanti di fabrik.
Setelah beberapa lama berkecimpung dalam aktiviti sulaman mesin, cik azue memilih untuk menggunakan jarum ini kerana mata jarumnya yang tajam itu memberikan lubang tusukan dikain yang lebih kecil dan menjadikan hasil sulaman lebih bersih, tepat dan padat.
Walau bagaimanapun, bagi kalian penyulam di luar sana, adalah lebih baik jika kalian mencuba menggunakan beberapa jenis jarum mesin terlebih dahulu dan membuat perbandingan.
Kadang kala baik bagi cik azue tetapi tidak baik bagi kalian berdasarkan faktor mesin yang digunakan.
Apabila telah berjumpa dengan jarum mesin yang dapat memberikan hasil sulaman seperti yang dikehendaki, adalah lebih baik kalian menggunakan jarum itu sahaja bagi menjaga mutu sulaman.
Sebelum berakhir, sukalah cik azue hendak menasihati.
Selain jarum mesin jahit, kertas 'backing' atau penstabil dan cara kendalian fabrik di pemidang sulaman juga memainkan peranan dalam menghasilkan satu-satu artikel sulaman yang bermutu.
Hingga di lain masa, kita berbicara lagi tentang lain-lain topik dalam asas sulaman mesin berkomputer.
Maafkan cik azue, doakan cik azue dan terima kasih.
Wasalam.
Azuriyah Mohamad
013-2700020
Muharram 1, 1437H
(14 Oktober 2015 @ 4.20pm)
No comments:
Post a Comment