Thursday, 22 October 2015

Gelendung Benang

Entri: # 20
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

Hari ini, cik azue sambung mengenai gelendung benang.

Apakah kepentingannya pada seorang penyulam.
Seperti yang kita sedia maklum, gelendung benang haruslah diisikan dengan benang gelendung (benang 'bobbin'), bukannya dengan benang sulaman.

Warna benang gelendung ini ada dua, sama ada putih atau hitam sahaja.
Namun bukan benang yang akan kita bicarakan kali ini. Kita akan melihat kepada gelendung benang itu sendiri.

Umum tahu, lain jenama mesin, lainlah bentuk serta jenis gelendung ini.
Ada yang diperbuat daripada plastik lutsinar dan ada juga yang diperbuat daripada kepingan aluminum.

Ada mesin sulam perlukan gelendung khas, ada juga yang boleh guna pakai mana-mana gelendung yang sedia terdapat dipasaran.

Oleh itu, ada baiknya, ketika membeli mesin sulam tersebut dari penjual mesin, belilah sekali beberapa unit gelendung benang tambahan serta mohonlah sedikit info berkaitan gelendung itu seperti kemudahan mendapatkannya, saiz dan lain-lain lagi bagi memudahkan urusan menambah stok gelendung benang nanti.


Kenapa gelendung yang tepat menjadi satu kepentingan bagi seorang penyulam?

Di awal pembabitan di dalam aktiviti sulaman, cik azue juga tidak menyedari bahawa terdapat pelbagai variasi gelendung benang walau pun nampak seakan sama.

Gambar 1 menunjukkan barisan gelendung yang tiap satunya adalah berbeza pada jenama mesin yang guna pakai.

Gambar 2 menunjukkan dua (2) jenis gelendung yang seakan sama, namun sedikit berbeza pada segi ketinggian gelendung itu serta darjah kecembungan ceper piring yang terdapat di kiri kanannya.

Walau pun sangat sedikit perbezaannya, ia sebenarnya memberi impak besar pada hasilan sulaman yang dilakukan.

Impak paling besar adalah apabila benang gelendung ('bobbin thread') akan muncul ke atas artikel sulaman, walau sebaik mana pun pelarasan ketegangan benang atas dan benang gelendung telah dilakukan.

Ini disebabkan gelendung tersebut tidak muat atau tidak selaras dengan rumah gelendung atau sekoci yang sedia terbina.

Inilah perkara paling penting yang dipelajari selama menjalankan aktiviti sulaman.

Kesimpulannya, sebagai penyulam baru, dinasihatkan agar sentiasa membeli gelendung yang tepat dari pembekal mesin yang sama.

Hingga di lain entri, maafkan cik azue, doakan cik azue dan terima kasih.

Wasalam.

Azuriyah Mohamad
Muharram 9, 1437H
(22 Oktober 2015 @ 4.30pm)

Wednesday, 21 October 2015

Sulaman: Jarum Lama Vs Jarum Baru

Entri: # 19
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad


 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

Salam kasih sayang.
Minta maaf dek terlupa akan info yang satu ini. Alhamdulillah, entri ini akan mengakhiri bab jarum mesin sulam yang sebenarnya.
Jika dilihat dengan mata kasar, kedua jarum tanpa label (gambar 1) tidak akan dapat dibezakan yang mana jarum baru dan yang mana jarum lama.

Apakah kepentingan jarum baru dan jarum lama ini kepada sulaman kita?

Seperti yang kita sedia maklum, jarum baru bermaksud, jarum itu adalah tajam, namun, perlulah diketahui, kadangkala, jarum baru tidak semestinya tajam.

Bagaimanakah boleh kita mengenal pasti jarum baru yang tajam ini?

Berpandukan pengalaman, jarum baru yang tajam, jika kita sentuh di hujung mata jarum (gambar label 2), kita akan merasai kesan seperti kulit kita seolah-olah tertarik ('skin pickup effect') bila kita cuba merasai hujung mata jarum tersebut('needle tip').
Cuba kalian rasakan sendiri, namun haruslah dilakukan secara berhati-hati ya dek kerana jarum baru yang memang bersifat sangat tajam.

Yang kedua, kita juga harus melihat sama ada jarum baru yang tajam itu berkedudukan selari serta tegak dan tidak senget ('slanted') kerana kecacatan jarum ini boleh merosakkan kain dan mesin sulam, dengan mengakibatkan jarum patah ketika jarum menembusi kain lalu tersekat di celahan gigi mesin sulam.

itu bagi yang berpengalaman melihat dan merasai jarum mesin jahit dan dapat membezakannya.

Bagi kalian yang baru berkenalan, untuk mengetahui sama ada jarum itu adalah tajam atau tidak, selalunya dinasihatkan agar mencuba menjahit sedikit pada kain yang agak sensitif serta bertekstur licin seperti satin.
Jika kain tersebut berkedut atau tertarik ketika jarum menembusi kain, ini bermakna, jarum itu sebenarnya tidaklah begitu tajam.

Semakin lama kita menyulam, jarum ini akan menjadi semakin tumpul. Ketika ini, walau jarum masih dalam keadaan baik serta tidak patah, seharusnya kalian sudah mula menukar jarum tersebut.

Selalunya kita dinasihatkan untuk menukar jarum bagi setiap 8,000 ke 10,000 mata jahitan ('stitches') bergantung artikel sulaman. Ini bagi menjaga mutu hasilan sulaman yang dilakukan.

Percaya atau tidak, jika kalian perhatikan, mutu jahitan sulaman adalah berbeza ketika mula menyulam dengan jarum yang baru berbanding yang terakhir sebelum kalian menukar jarum.
Kadangkala kita dapat melihat terdapatnya lubang-lubang halus jarum pada artikel yang disulam dek kerana kehausan mata jarum.
Kadangkala pula, di tengah-tengah proses sulaman berlangsung, tiba-tiba kalian dapati benang putih gelendung mula muncul di permukaan atas artikel sulaman.

Kenapa benang putih gelendungan muncul ketika sebelum ini baik-baik sahaja?
Salah satu sebabnya adalah mata jarum telah haus dan tusukan jarum menjadi tidak tepat serta berlaku sedikit serpihan geseran di mata jarum lalu mengakibatkan benang gelendung tertarik lalu terikut jarum untuk naik ke permukaan sulaman.

Selain daripada yang tertulis di atas, bagi seorang penyulam yang telah lama berkecimpung dalam aktiviti sulaman, bunyi tusukan jarum ke kain juga boleh menjadi satu garis panduan untuk menukar jarum.

Jika pada permulaan penggunaan jarum, bunyi tusukan itu lembut, namun sejajar kehausan mata jarum, bunyi tusukan ini juga akan semakin kuat dek kerana hujung mata jarum tidak lagi meruncing seperti asal malahan sebaliknya telah bertukar menjadi semakin bulat.
Bila ini terjadi, lubang tusukan akan semakin ketara dan sulaman terhasil akan semakin kurang tepat dan kurang jitu.

Suka untuk menasihati. Jika kalian gemar menyulam pada fabrik seperti felt atau denim atau 'PVC', seharusnya kalian menukar jarum terlebih dahulu sebelum kalian memulakan sulaman pada fabrik yang lebih nipis.
Ini kerana fabrik di atas adalah bersifat tebal dan cepat boleh menghauskan struktur mata jarum.

Sampai sini dahulu, di lain entri, kita bersambung pada topik baru.
Semoga perkongsian ini memberi sedikit panduan bagi kalian yang baru menceburi bidang ini.

Jika ada sebarang pertanyaan, kalian bolehlah ajukan soalan di fesbuk : AZURIYAH MOHAMAD atau ke nombor 013-2700020 ('WhatsApp).

In shaa Allah, cik azue cuba bantu seberapa segera.

Hingga itu, maafkan cik azue, doakan cik azue dan terima kasih.

Wasalam.

Azuriyah Mohamad
Muharram 8, 1437H
(21 Oktober 2015@1.00pm)

Wednesday, 14 October 2015

Jarum Mesin untuk Menyulam

Entri: # 18
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad


 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

Salam kasih sayang.
Menyambung lagi entri tertangguh mengenai jarum mesin jahit. Dan ini merupakan entri terakhir untuk bab jarum.

Kali ini cik azue akan menulis tentang jarum bagi kegunaan aktiviti menyulam.
Jika pada mesin jahit baju, kita menggunakan pelbagai saiz jarum jahit berdasarkan jenis fabrik yang ingin dijahit, namun bagi aktiviti menyulam, cik azue hanya menggunakan satu jenis dan nombor sahaja.

Sila rujuk SINI bagi pautan ke entri Jarum Mesin dan Kepelbagaian.



Ini jarum yang cik azue guna. Sila rujuk gambar bernombor dua (2).
Menggunakan mesin sulam berkomputer berjenama 'Brother' dengan model 'NV1500', Alhamdulillah cik azue menggunakan jarum mesin jahit jenama 'Organ' dengan saiz 65/9 tanpa sebarang masalah. Jarum yang ditunjukkan ini adalah jarum mesin jahit biasa yang tajam - bukan jarum khas bagi tujuan sulaman mesin.

Perlulah diingatkan, jarum adalah suatu objek yang membawa benang sulam melalui fabrik tanpa merosakkan jarum, benang sulam itu sendiri dan juga fabrik yang ditembusinya. Jarum ini juga haruslah dapat menghasilkan satu hasilan yang bersih dan kemas dari segi mutu sulaman dan ke atas fabrik yang disulam.

Cik azue menggunakan jarum bersaiz 9 ini bagi menyulam artikel di atas apa juga jenis fabrik setakat hari ini. Satu jarum bagi semua jenis sulaman dan semua jenis fabrik yang diguna pakai dalam aktiviti sulaman.

Cuma apa yang membezakan hasil sulaman adalah dari segi ketajaman jarum jahit mesin yang digunakan dalam menghasilkan satu-satu artikel sulam.

Untuk makluman, berdasarkan pengalaman, kenapa cik azue memilih untuk menggunakan jarum bersaiz 9 bagi semua kerja sulaman (menggunakan fabrik tuala ('terry'), 'cotton', 'minky, jersey, felt dan lain-lain) adalah kerana semakin kecil mata jarum itu maka, semakin tepatlah hasil sulaman yang terlakar nanti di fabrik. 

Setelah beberapa lama berkecimpung dalam aktiviti sulaman mesin, cik azue memilih untuk menggunakan jarum ini kerana mata jarumnya yang tajam itu memberikan lubang tusukan dikain yang lebih kecil dan menjadikan hasil sulaman lebih bersih, tepat dan padat. 

Walau bagaimanapun, bagi kalian penyulam di luar sana, adalah lebih baik jika kalian mencuba menggunakan beberapa jenis jarum mesin terlebih dahulu dan membuat perbandingan.

Kadang kala baik bagi cik azue tetapi tidak baik bagi kalian berdasarkan faktor mesin yang digunakan.
Apabila telah berjumpa dengan jarum mesin yang dapat memberikan hasil sulaman seperti yang dikehendaki, adalah lebih baik kalian menggunakan jarum itu sahaja bagi menjaga mutu sulaman.

Sebelum berakhir, sukalah cik azue hendak menasihati.
Selain jarum mesin jahit, kertas 'backing' atau penstabil dan cara kendalian fabrik di pemidang sulaman juga memainkan peranan dalam menghasilkan satu-satu artikel sulaman yang bermutu.

Hingga di lain masa, kita berbicara lagi tentang lain-lain topik dalam asas sulaman mesin berkomputer.

Maafkan cik azue, doakan cik azue dan terima kasih.

Wasalam.

Azuriyah Mohamad
013-2700020
Muharram 1, 1437H
(14 Oktober 2015 @ 4.20pm)






Sunday, 11 October 2015

Kenali Jarum Mesin Jahit

Entri: # 17
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad


 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

Bersambung kita dengan entri tentang jarum mesin jahit.
Kalau tadi kita bercerita tentang kepelbagaian jarum mesin jahit yang terdapat dipasaran, kali ini kita akan bercerita tentang jarum mesin itu sendiri serta cara pemasangan jarum mesin tersebut ke mesin sulaman mudah alih.

Gambar berlabel tiga (3) adalah keadaan permukaan suatu jarum mesin jahit.
Setiap jarum mempunyai muka hadapan yang cembung serta muka belakang yang rata. Ini bagi membolehkan jarum dapat dimasukkan pada tiang slot jarum.

Gambar 1 menunjukkan tempat di mana kita pasangkan jarum tersebut.
Gambar 2 menunjukkan bagaimana cara pemasangan jarum ke slot di mesin jahit. Bagi kalian yang baru berjinak dengan mesin jahit mudah alih, kedudukan jarum memasuki slot haruslah tepat dan setelah itu pelaras skru haruslah dilaras dan diketatkan sebaik mungkin.

Perlulah di ambil perhatian, pelaras ini haruslah dapat mengikat jarum dengan seketatnya kerana jarum mesin sulam akan bergerak dengan sangat laju ketika proses menyulam sedang berlaku. Jika jarum tidak dilaras sempurna, kemungkinan jarum terlucut dari slot akan berlaku. Ini akan mengakibatkan artikel koyak atau mesin sulaman rosak.

Pada gambar 4 dan 5, ini kedudukan jarum selepas dilaras sempurna. Jarum haruslah berada di tengah-tengah dan dapat memasuki lubang di tapak mesin jahit tanpa tersangkut kepada sekoci atau gelendung benang yang terdapat di dasar mesin jahit.

Jika mata jarum mesin jahit tersangkut, kemungkinan mesin akan berhenti tiba-tiba, jarum patah lalu artikel sulaman rosak. Ia juga mungkin mengakibatkan mesin sulaman tersangkut dan tidak dapat beroperasi sehingga harus dihantar ke pusat servis semula.

Kesimpulannya, jarum mesin haruslah dipasang dengan tepat dan dilaras seketat mungkin bagi mengelakkan kemalangan ketika operasi sedang dijalankan.

Baiklah, hingga bersambung lagi dengan tajuk entri Jarum dan Kepentingannya pada Sulaman.

Hingga itu, maafkan cik azue, doakan cik azue, terima kasih.

Wasalam.



Azuriyah Mohamad
013-2700020
Zulhijjah 27, 1436H
(11 Oktober 2015 @ 6.46am)

Jarum Mesin dan Kepelbagaian

Entri: # 16
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad


 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

Salam kasih sayang.
Selamat berhujung minggu buat rakan pembaca yang di rahmati Ilahi. Hari ini cik azue masih lagi menulis berdasarkan perkara asas tentang mesin jahit yang perlu diambil peduli oleh rakan-rakan yang baru berjinak-jinak dengan mesin jahit, terutamanya mesin jahit sulam.

Atas: Jarum Mesin Mudah Alih ('portable')
Bawah: Jarum Mesin Industri ('high speed')
~Koleksi Jarum Mesin Azuriyah Mohamad ~

Mari kita fahami tentang nombor-nombor yang terdapat disampul bungkusan jarum mesin tersebut.

Pertama: Kod HA atau DB.
Kod HA adalah jarum bagi kegunaan mesin mudah alih ('portable') manakala kod DB pula adalah untuk mesin industri ('high speed') pelbagai jenama kecuali mesin berjenama Singer.

Di pasaran, terdapat 2 lagi kod jarum iaitu kod DP dan kod DC.
Kod DP adalah bagi kegunaan mesin industri berjenama Singer manakala kod DC pula adalah bagi kegunaan mesin jahit tepi industri.

Kedua: Nombor di pek sampul bungkusan.
Nombor ini mewakili saiz jarum sebenarnya. Jarum dengan nombor saiz :
*9 - untuk menjahit fabrik nipis atau halus
*11 - untuk menjahit fabrik licin atau sutera
*13 & 14 - untuk menjahit fabrik jenis kapas
*16 - untuk menjahit fabrik sederhana tebal seperti langsir
*18 - untuk menjahit fabrik tebal seperti fabrik jeans, pembuatan beg dan lain-lain lagi.

selain dari ini juga terdapat satu lagi jenis jarum yang dikenali sebagai jarum emas yang mana jarum ini hanya digunakan pada mesin jahit mudah alih ('portable') bagi menjahit fabrik seperti lycra, jersey dan kain baju T. Namun diingatkan kadangkala terdapat mesin yang tidak memerlukan jarum ini ketika menjahit fabrik tersebut.

Ada juga sesetengah mesin mudah alih ('portable') yang hanya boleh menggunakan jarum mesin dari keluaran syarikat yang sama dengan mesin jahit itu sendiri.

Oleh sebab itu, kalian perlulah lihat mesin jahit kalian dan cubalah menggunakan jenis-jenis jarum yang dinyatakan berdasarkan maklumat yang diberi ini. Dan sila pastikan juga jarum yang dipilih bersesuaian dengan jenama dan jenis mesin jahit yang digunakan oleh kalian.

Hingga ketemu lagi.
Nanti cik azue sambung lagi mengenai jarum mesin ini - anatomi jarum serta cara pemasangan pada mesin mudah alih. 

Maafkan cik azue, doakan cik azue, terima kasih.

Wasalam.


Azuriyah Mohamad
013-2700020
Zulhijjah 27, 1436H
(11 Oktober 2015 @ 5.40am)



Saturday, 10 October 2015

Perbezaan Benang Sulaman Mesin (Jenama)

Entri: # 15
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad


 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI


Salam kasih sayang. Entri hari ini juga masih lagi berkisar tentang soalan pembaca.
Antara soalan yang sering cik azue dapat adalah tentang benang sulaman mesin.

Kali ini cik azue menjawab soalan pembaca, yang bertanyakan pendapat cik azue tentang benang-benang sulaman berdasarkan jenama yang terdapat di pasaran.


Benang Fufus dan Benang Dolphin



Ini catatan dan pendapat peribadi.
Sila rujuk gambar. Dua benang tersebut banyak cik azue guna pakai dalam proses menyulam setiap artikel.

Dua jenama benang ini adalah yang terbaik selama cik azue menyulam.
Benang dari jenama 'Dolphin' ini di datangkan dalam 2 saiz, kecil dan sederhana. Sesuai untuk penyulam yang kurang aktif atau baru kerana ia lebih murah berbanding benang berjenama 'Fufus'.

Kenapa ia sesuai bagi kegunaan penyulam baru atau yang kurang aktif? Salah satu sebabnya ia didatangkan dalam saiz yang kecil, jadi lambakan benang tidak terusik yang agak lama dapat dikurangkan berbanding jika menggunakan 'spool' benang besar.

Kenapa kejadian lambakan benang tidak terusik harus dielakkan?
Benang yang agak lama terbuka dan terbiar sebenarnya boleh memberi masalah kepada seorang penyulam. Keadaan ini lebih dikenali sebagai keadaan benang 'masuk angin'.
Apabila ini terjadi, benang yang diguna akan seringkali terputus-putus ketika mesin sedang menyulam. Ini akan meningkatkan masa kendalian operasi serta boleh menyebabkan kekemasan artikel sulaman menjadi tidak tepat atau berserabut, samada di muka hadapan mahu pun muka belakang.

Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak terjadi kepada benang yang di bawah jenama FUFUS. Mungkin cara pembuatan benang tersebut menyebabkan struktur benang tersebut lebih kukuh.

Dari segi mutu hasilan sulaman, jika dilihat, artikel yang disulam menggunakan benang berjenama Fufus ini, seolah-olah mempunyai kilatan tersendiri serta mampu menghasilkan sulaman yang sekata dan licin.

Setakat ini sahaja yang mampu cik azue nyatakan kerana produk sulaman cik azue hanya menggunakan 2 jenis jenama buat masa ini.
Jika kalian yang ingin membeli benang Fufus ini secara online, kalian boleh dapatkan maklumat melalui pautan Panduan Belian berikut.

Sampai sini sahaja buat kali ini.
Jika ada sebarang pertanyaan kalian boleh hubungi cik azue melalui inbox PM FB atau melalui aplikasi 'whatsapp' ke nombor 013-2700020.

Maafkan cik azue, doakan cik azue, terima kasih.

Hingga bertemu di lain entri.
Wasalam


Sunday, 4 October 2015

Tips Belian 'Online' Benang Berjenama FUFUS

Entri: # 14
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad


 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI


Zulhijjah 20, 1436H
(4 Oktober 2015)

Salam kasih sayang.
Entri kali ini berkaitan pada beberapa pertanyaan mengenai bagaimana membeli benang sulaman jenama FUFUS.

Umum tahu, benang Fufus ini adalah jenama bagi benang sulaman untuk sektor industri. Walau bagaimana pun, benang ini juga boleh diguna pakai oleh penyulam yang beroperasi dari rumah. Benang Fufus ini diimpot dari negara Korea oleh syarikat Top Concord Sdn Bhd. Benang yang ditawarkan terdiri daripada benang sulaman pelbagai warna (satu size sahaja) dan benang gelendung atau benang 'bobbin' (terdapat tiga (3) saiz yang berlain berdasarkan berat buku benang)

Bagi yang berminat untuk membeli benang ini, kalian yang berdekatan bolehlah membeli terus di premis syarikat Top Concord sama ada di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, atau di cawangan-cawangannya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang atau di Batu Pahat, Johor. Di akhir entri nanti, cik azue masukkan alamat penuh setiap cawangan terbabit ya.

Bagi kalian yang berada agak jauh dari premis, kalian boleh membeli benang ini secara 'online' atau secara atas talian.

Bagi belian secara online, berikut merupakan langkah yang perlu kalian lakukan.

1) Menghantar email meminta sebut harga bagi benang yang kalian mahu berdasarkan berikut.

* Alamat email penerima: tcsb35@yahoo.com
Benang sulaman : 120 /D2 (small cone) dan sertakan kod benang sulaman        yang diingini (rujuk gambar berlabel 4 dan 5)
* Benang gelendung / bobbin : benang bobbin (1kg, 1/2 kg atau 2kg)
* Nyatakan juga bahawa memerlukan perkhidmatan pengeposan ke alamat          tertentu.

2) Menalifon syarikat dan memberitahu bahawa satu email meminta sebut harga telah dihantar ke alamt email di atas dan meminta mereka maklum dan menyemak.

3) Setelah menerima sebut harga dari pihak syarikat, membuat bayaran dan menghantar bukti pembayaran kepada syarikat melalui email yang sama.

4) Talifon syarikat dan maklum bayaran untuk pembelian dari email sekian telah dibuat dan bukti bayaran telah diemail kembali untuk rujukan syarikat.

Setelah 4 langkah di atas selesai, kita hanya tunggu pesanan pembelian dihantar ke muka pintu oleh syarikat penghantaran 'SKYNET'.

Senang dan mudah bukan?
Baiklah, bagi kalian yang ingin membeli tetapi tidak tahu kod benang sulaman yang ingin dibeli, kalian boleh whatsapp cik azue di nombor 013-2700020 bagi memperolehi kod warna benang sulaman. Nanti sila maklumkan dalam email kalian jika kalian mahu katalog kod warna benang sulaman dari pihak syarikat di pos sekali dengan benang belian.



Nota gambar.
1 dan 2 - Benang sulaman yang dibeli cik azue
3 - Alamat cawangan Kuala Lumpur
4 dan 5 - Katalog benang sulaman.

Alamat cawangan Pulau Pinang
No.88, 1st Floor, Jalan Kota Permai, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Tel: 04-5079396 / 04-5079395

Alamat cawangan Johor.
No 13, Jalan Dedaru, Taman Nira, 83000 Batu Pahat, Johor.
Tel: 07-4337173

Diharap panduan ini memberi manfaat. Hingga di lain entri.

Wasalam.