Thursday, 22 October 2015

Gelendung Benang

Entri: # 20
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

Hari ini, cik azue sambung mengenai gelendung benang.

Apakah kepentingannya pada seorang penyulam.
Seperti yang kita sedia maklum, gelendung benang haruslah diisikan dengan benang gelendung (benang 'bobbin'), bukannya dengan benang sulaman.

Warna benang gelendung ini ada dua, sama ada putih atau hitam sahaja.
Namun bukan benang yang akan kita bicarakan kali ini. Kita akan melihat kepada gelendung benang itu sendiri.

Umum tahu, lain jenama mesin, lainlah bentuk serta jenis gelendung ini.
Ada yang diperbuat daripada plastik lutsinar dan ada juga yang diperbuat daripada kepingan aluminum.

Ada mesin sulam perlukan gelendung khas, ada juga yang boleh guna pakai mana-mana gelendung yang sedia terdapat dipasaran.

Oleh itu, ada baiknya, ketika membeli mesin sulam tersebut dari penjual mesin, belilah sekali beberapa unit gelendung benang tambahan serta mohonlah sedikit info berkaitan gelendung itu seperti kemudahan mendapatkannya, saiz dan lain-lain lagi bagi memudahkan urusan menambah stok gelendung benang nanti.


Kenapa gelendung yang tepat menjadi satu kepentingan bagi seorang penyulam?

Di awal pembabitan di dalam aktiviti sulaman, cik azue juga tidak menyedari bahawa terdapat pelbagai variasi gelendung benang walau pun nampak seakan sama.

Gambar 1 menunjukkan barisan gelendung yang tiap satunya adalah berbeza pada jenama mesin yang guna pakai.

Gambar 2 menunjukkan dua (2) jenis gelendung yang seakan sama, namun sedikit berbeza pada segi ketinggian gelendung itu serta darjah kecembungan ceper piring yang terdapat di kiri kanannya.

Walau pun sangat sedikit perbezaannya, ia sebenarnya memberi impak besar pada hasilan sulaman yang dilakukan.

Impak paling besar adalah apabila benang gelendung ('bobbin thread') akan muncul ke atas artikel sulaman, walau sebaik mana pun pelarasan ketegangan benang atas dan benang gelendung telah dilakukan.

Ini disebabkan gelendung tersebut tidak muat atau tidak selaras dengan rumah gelendung atau sekoci yang sedia terbina.

Inilah perkara paling penting yang dipelajari selama menjalankan aktiviti sulaman.

Kesimpulannya, sebagai penyulam baru, dinasihatkan agar sentiasa membeli gelendung yang tepat dari pembekal mesin yang sama.

Hingga di lain entri, maafkan cik azue, doakan cik azue dan terima kasih.

Wasalam.

Azuriyah Mohamad
Muharram 9, 1437H
(22 Oktober 2015 @ 4.30pm)

No comments:

Post a Comment